MENANG DAN TERIMA ANUGERAH: Keperluannya untuk Bisnes
Pendahuluan
Ramai yang melihat memenangi anugerah hanya sebagai satu bentuk publisiti. Malah, ada beberapa jenis anugerah yang memerlukan kos yang tinggi untuk diperolehi. Hakikatnya, keperluan untuk mendapat ‘recognition’ dalam pelbagai bentuk merupakan satu pendekatan ‘leverage’ yang banyak digunakan oleh pemilik dan syarikat bisnes.
Kemenangan dan pencalonan dalam satu anugerah atau pertandingan memberi satu kelebihan yang boleh dioptimumkan oleh setiap enttiti. Sama ada secara peribadi atau dalam konteks syarikat, ia masih memberi kebaikan. Tidak kira sama ada ia bertaraf tempatan atau antarabangsa, ia menjadi satu cara pilihan untuk membawa jenama bisnes ke satu tahap yang baharu.
Meskipun begitu, ada pandangan yang menyatakan bahawa anugerah sebegini tidak menunjukkan prestasi dan pencapaian sebenar sesebuah syarikat.
Jenis Anugerah.
Ada pelbagai ejensi, institusi dan syarikat persendirian yang mengendalikan dan menganjurkan pelbagai jenis penganugerahan dengan kriteria khusus.Banyak jenis anugerah yang memerlukan kos apabila mereka menyertainya dan ada yang menggunakan pendekatan pencalonan.Situasi ini boleh kita lihat dalam dua bentuk. Anugerah yang diberikan kepada individu berkenaan (pemilik bisnes) atau diberikan kepada syarikat (organisasi).
Antara anugerah yang kita dapat lihat ialah SME 100 Awards, SME and Entrepreneuers Business Awards, Star Outstanding Business Awards (SOBA) dan banyak anugerah lain yang diberikan oleh beberapa agensi mahupun syarikat persendirian.Manakala anugerah persendirian yang diberikan kepada individu termasuklah Penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat yang membawa gelaran termasuklah Dato’ dan Datuk.
Anugerah persendirian (personal recognition) juga termasuklah dalam kategori pencapaian melalui persatuan, kelab atau bidang akademik yang dipilih.
Mengapa perlu kepada anugerah?
Memang ada keperluan untuk menang atau menerima anugerah. Ini bergantung kepada rancangan yang disusun oleh syarikat dan individu berkenaan. Berikut adalah sebahagian daripada senarai manfaat dan keperluan untuk mendapat anugerah sebagai satu jenis pengiktirafan. Senarai ini terpakai untuk kedua-dua jenis pencapaian sama ada secara peribadi atau untuk organisasi.
1. Menjadi ‘benchmark’ kepada kedudukan bisnes kita dalam industri.
Ia bukan semata-mata hanya kepada kemenangan, tetapi proses pencalonan itu sendiri menjadi satu perkara yang berharga. Ini menjadil salah satu cara untuk kita melihat kedudukan bisnes kita dalam industri atau kategori tertentu.
2. Meningkatkan kredibiliti.
Menjadi calon dalam anugerah (atau pertandingan) merupakan satu bukti tahap kredibiliti yang ada. Kelayakan masuk sebagai calon sudah merupakan satu pencapaian. Meskipun tidak menang atau tidak mendapat kedudukan utama, menjadi salah satu nama dalam senarai pencalonan merupakan satu kredibiliti.
3. Kos terlibat dikira sebagai aktiviti PR dan pemasaran.
Bagi tujuan penamaan dan semua aktiviti yang berkaitan untuk melalui proses ini merupakan satu kos yang dikategorikan untuk tujuan PR dan pemasaran. Ia boleh jadi percuma atau sangat tinggi. Semua ini mestilah dimasukkan dalam perancangan yang menjadikan semua proses ini lebih lancar.
4. Meningkatkan morale staf
Pencalonan dan penerimaan anugerah menjadi salah satu faktor yang meningkatkan semangat staf yang ada dalam syarikat atau mana-mana pihak yang bekerjasama dengan kita. Pengurusan dalaman juga merupakan penentu kepada kelayakan yang menjadikan syarikat atau bisnes kita berjaya dicalonkan.
5. Meningkatkan kepercayaan pihak lain
Ini termasuklah kepercayaan kepada prospek, bakal pekerja atau pihak yang bakal bekerjasama dalam pelbagai urusan. Kemunculan dalam senarai pencalonan yang menjadi salah satu pencapaian menjadi bualan. Jadi, perkara ini merupakan salah satu perkara yang boleh di’leverage’kan.
Rancangan Bisnes
Penting untuk usahawan dan pemilik bisnes melihat semula susunan strategi yang ada. Keperluan semasa perlu dipertimbangkan dengan memilih jenis dan kategori anugerah yang sesuai. Bagi usahawan dan pemilik bisnes, ini bergantung kepada kesediaan mereka. Perkara ini menjadi salah satu pendekatan yang menjadi sebahagian daripada strategi bisnes yang disusun.
Mereka perlu bersedia untuk menggunakan pendekatan ini sebagai satu cara untuk ‘leverage’ kepada sumber yang mereka ada.Sama ada pendekatan ini digunakan atau tidak, banyak bergantung kepada strategi dan rancangan bisnes yang disediakan untuk jangka masa panjang.
– Noraminah Omar, Business Advisor