MENJALANKAN BISNES SUAMI ISTERI – Ada yang berjaya, ada yang tidak.

Baru-baru ini ada ramai juga yang membuka perbincangan tentang hala tuju perniagaan yang dijalankan bersama pasangan. Rata-rata, setiap seorang ada impian dan tujuan tersendiri.

Tulisan ini mungkin kedeangaran sedikit biasa kepada isteri (wanita), tetapi tidak menolak keadaan yang sama berlaku di pihak suami (lelaki).

Apabila kita rujuk semula dalam kebanyak senario, ada pasangan suami dan isteri yang memang merancang perniagaan secara bersama. Manakala, ada yang dimulakan dahulu oleh salah seorang daripada mereka.

SETIAP INDIVIDU BERBEZA

Ada keadaan di mana isteri yang mempunyai DNA perniagaan yang lebih berbanding suami dan ada keadaan sebaliknya pula. Namun, dalam keadaan di mana isteri mempunyai banyak tugas dan tanggungjawab dalam keluarga, ramai yang mengambil pendekatan untuk memberi ruang kepad suami yang mengetuai perusahaan yang dijalankan.

Bagi sesetengah wanita yang lebih maskulin karakternya, lebih mudah bagi mereka membuat keputusan dan lebih tegas dalam membuat keputusan perniagaan. Bagi sesetengah lelaki yang lebih feminin pula, mereka memberi ruang kepada isteri untuk mengetuai. Karakter ini tidak ada salah dan betul, ia bergantung kepada setiap individu berkenaan.

ISTERI BAWA MASUK SUAMI DALAM BISNES

Pernah satu ketika seorang isteri yang agak dominan dalam perniagaan, kemudian membuat keputusan membawa masuk suami ke dalam bisnes beliau. Situasi ini, menjadikan beliau (isteri) dalam dilema. Mengapa? Meskipu isteri dominan dalam perniagaan beliau ada kesukaran membezakan platform berniaga dan peranan sebagai isteri dan ibu. Setiap kali berkomunikasi dengan suami, beliau tidak dapat melihat secara objektif sama ada ia tentang perniagaan atau tentang beliau sebagai isteri.

Ini menjadikan beliau sendiri yang tertekan. Mahu mengembangkan bisnes, tetapi suami mahu ‘santai-santai’ dan ‘cukup’ dengan apa yang ada sekarang. Mahu urus anak lagi, urus bisnes lagi. Konflik ini banyak berlaku. Hakikatnya, ramai isteri tidak menerima dan tidak mahu mengakui hakikat yang mereka ada dilema ini.

SUAMI BAWA MASUK ISTERI DALAM BISNES

Ada keadaan di mana suami juga mengalami dilema yang sama. Menjalankan perniagaan dan bawa masuk isteri bersama dalam bisnes yang dijalankan. Tugas itu mungkin sebagai pengarah atau staf. Kekeliruan yang sama ada berlaku.

Sayangkan isteri, tidak mahu memberi tekanan kepada isteri, mahu beri peluang kepada isteri dan banyak lagi yang difikirkan oleh suami. Akhirnya, objektif bisnes juga sukar dicapai apabila tiada kesefahaman.

Pernah satu ketika seorang usahawan berjumpa dan mahu mendapatkan pandangan. Beliau seorang suami yang berniaga bersama isteri. Beliau menguruskan hal operasi dan mengetuai perjalanan bisnes manakala isteri menguruskan bahagian kewangan dan pekerja.

Beliau menyatakan hasratnya mahu mengembangkan bisnes, namun isteri tidak memberi sokongan. Suami tidak mempunyai tahap pendidikan tinggi, tetapi isteri belajar lebih tinggi. Dilema ini juga ada kepada suami yang menjalankan bisnes bersama isteri dan mereka tidak banyak bercerita tentang cabaran ini.


DILEMA YANG TIDAK SUDAH

Dalam beberapa senario, saya mendapati isteri melihat suami tidak mempunyai kapasiti mengurus dan memimpin lalu tidak yakin untuk mengembangkan bisnes yang dilihat akhirnya akan menyusahkan dirinya sebagai isteri. Ini berlaku terutama apabila pasangan sedang membina keluarga dengan anak-anak yang masih kecil.

Ada sesetengah isteri pula, mahu menjaga hati suami. Maka, apa sahaja idea dan usaha suaminya, mereka akan sokong. Apabila ada yang kurang jelas dan mereka sangsi, mereka hanya bertanya sekali dan tidak mempersoalkan lebih lanjut.

Malah, dalam kebayakan situasi, suami dan isteri berbincang tanpa data yang tepat apabila membuat keputusan. Mengapa mahu beli bangunan? Mengapa mahu buka cawangan? Mengapa mahu buka bisnes lain? Mengapa mahu masuk pasaran baharu? Mengapa perlu adakan sistem ejen?

Semua soalan ini jarang dikeluarkan dan dibincangkan dengan bersandarkan data. Banyak lebih kepada ‘rasa’ dan ‘fikir’ atau lebih buruk ialah berdasarkan apa yang orang lain cakap.

KEBENARAN YANG PAHIT

Benar. Ada bisnes yang ‘berjaya’ diusahakan secara bersama. Orang yang paling dipercayai ialah suami atau isteri. Hakikatnya, ramai juga yang berpisah, suami yang tidak menunaikan tanggungjawab dan bermusuh akibat daripada menjalankan perniagaan bersama.

Keadaan ini ada yang parah apabila suami yang menjalankan bisnes bersama isteri, berkahwin lagi dan meninggalkan tugas sebagai suami kepada isteri yang sama-sama berbisnes, fokus pula kepada isteri-isteri baharu. Lebih parah, suami mengambil hak seluruhnya ke atas perniagaan yang dibina oleh isteri dan meninggalkan sang isteri terkapai-kapai sendirian.

Kedengaran seperti drama, tetapi ini banyak berlaku dalam dunia perniagaan yang dijalankan bersama suami dan isteri. Jadi, apa yang boleh dilakukan?

Tidak kira sama ada isteri atau suami, ada beberapa perkara penting yang mesti ada.

APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN?

1. Personal plan

Meskipun menjalankan bisnes bersama pasangan, sentiasa ada rancangan peribadi. Kita kekal sebagai manusia meskipun kita berubah dari segi status dan keadaan semasa. Belum ada anak atau anak sudah 10 orang, mesti ada personal plan.

Lihat semula tentang pendapatan masing-masing. Yang mana hak dan tanggungjawab, tunaikan. Simpanan dalam bentuk aset atau pelbagai mesti ada. Jika ada akaun bersama, mesti ada akaun personal juga. Simpanan hari tua, memang ada yang sama-sama, pastikan ada yang personal juga.

Ini bukan soal percaya atau tidak, tetapi soal mengurus kehidupan.

2. Personal growth

Mesti ada roses dan perkara yang melibatkan pembangunan diri kita. Meskipun sibuk dengan pengurusan keluarga, anak-anak dan seumpamanya, diri kita mesti di jaga.

Belajar kemahiran baharu, berikan diri rehat yang secukupnya.

3. Perwarisan

Apabila melibatkan keluarga, sama ada sudah ada anak atau belum, mul uruskan hal-hal seperti wasiat. Meskipun kita fikir harta kita tidak ada atau tidak banyak, tetap uruskan supaya ia memudahkan ahli keluarga apabila kita tiada.

Contohnya, wang KWSP dan simpanan yang ada, mesti sudah kita susunkan siapa yang akan menguruskannya dan bagaimana ia mesti diuruskan. Bawa berbincang dan simpan dokumen penting.

4. Asingkan aset bisnes dan aset personal

Ada yang melihat bisnes ini kita punya, maka tidak perlu risau. Uruskan. Kerana aset bisnes itu, keperluan penggunaannya adalah untuk bisnes. Apabila bisnes ada keuntungan, ambil apa yang hak kepada kita atas keuntungan. Jika ada bayaran dividen ambil dan bina personal aset.

Jika kereta atas nama syarikat, meskipun kita gunakan, ia tetap aset syarikat. Maka, susunkan portfolio kewangan berasingan.

RANCANG

Secara umumnya, pengurusan bisnes bersama suami dan isteri, banyak bergantung kepada budaya dan kekuatan kita masing-masing dalam menguruskannya.

Mengapa saya banyak menulis tentang ‘duit’? Meskipun tidak ramai yang mengaku, duit merupakan punca utama kepada keutuhan dan pecahnya sebuah perniagaan yang dijalankan oleh suami dan isteri. Maka, mula uruskan hal ini dari awal.

Sekiranya kita dapati kita tidak mampu untuk tegas dan tidak mampu mengasingkan urusan bisnes dan keluarga, elakkan berpartner dan berbisnes bersama suami atau isteri. Jika tiada pilihan, letakkan satu tempoh. Contoh , hanya 5 tahun pertama berniaga bersama pasangan. Susunkan rancangan untuk melalui fasa selepas 5 tahun pertama.

Secara peribadi, saya sudah melalui fasa ini. Malah saya dan suami sudah bersetuju tidak menjalankan perniagaan bersama-sama. Jika ada idea bisnes, kami akan bincang, namun keputusan di tangan masing-masing. Begitu juga dengan hal modal. Kami bersetuju untuk tidak memaksa atau meminta modal daripada satu sama lain.

Urusan harta yang sedikit, diuruskan secara persendirian, namun maklumat dikongsikan antara kami berdua untuk koordinasi maklumat. Simpanan untuk anak, mana yang mampu kami buat. Tabung Haji, SSPN-i atau akaun simpanan biasa. Sebulan RM10 pun simpan. Sedikit asal ada. Lebih banyak, lebih bagus.

Urusan keluarga dan diri kita berbeza. Namun, saya yakin, kita semua ada cabaran yang perlu dihadapi. Maka, hidup ini kita terima sebagai satu perjalanan panjang yang memerlukan kita bekerjasama dan bekerja sendirian mengikut keperluan. Together, alone.

Semoga semua urusan Tuan dan Puan dipermudahkan!

– Noraminah Omar
21 November 202

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *